Saya rasa amat
terkejut apabila mendapat tahu bahawa, seorang Penjenayah Perang akan melawat
Malaysia, sebagai Tetamu Kehormat Kerajaan Malaysia untuk menghadiri Forum
Ekonomi Islam Sedunia yang akan diadakan di Johor Bahru dari 4hb Disember
sehingga 6hb Disember 2012. Penjenayah Perang yang dimaksudkan adalah, Presiden
Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa.
PENJENAYAH PERANG - MAHINDA RAJAPAKSA
Presiden Sri Lanka
ini merupakan karakter terpenting dalam perang yang mengorbankan lebih daripada
30,000 orang awam berketurunan Tamil di Utara-Timur Sri Lanka pada pertengahan
tahun 2009. Dokumentari “Sri Lanka Killing Fields” yang diterbit oleh Channel
4, UK telah membongkarkan jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Sri Lanka
terhadap orang awam berketurunan Tamil yang terperangkap di dalam zon perang di
Utara-Timur Sri Lanka. Tentera Sri Lanka sengaja menyerang sasaran awam seperti
kawasan Hospital dan kawasan perumahan dengan tujuan untuk membunuh seberapa
banyak orang Tamil yang boleh. Tentera Sri Lanka telah menjalankan satu operasi
penghapusan kaum – ethnic cleansing semasa penghujung perang di antara Pasukan
Tentera dan LTTE pada tahun 2009 itu. Tentera Sri Lanka melakukan segala
perbuatan yang kejam itu oleh kerana arahan yang diberikan oleh pemimpin
tertinggi mereka. Sebagai Komander Utama Tentera Sri Lanka, Mahinda
Rajapaksalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala kezaliman yang telah
dilakukan ke atas orang-orang Tamil di Sri Lanka.
PULUHAN RIBU ORANG AWAM TELAH DIBUNUH DENGAN KEJAM
Kerajaan Sri Lanka
pimpinan Mahinda Rajapaksa telah melanggar segala konvensyen berkaitan dengan
hak asasi manusia sejagat dan telah menggunakan segala cara untuk menghapuskan
orang-orang Tamil di Sri Lanka. Semasa penghujung perang di antara Tentera Sri
Lanka dan LTTE, tentera Sri Lanka telah memerangkap sejumlah orang berketurunan
Tamil di dalam “zon keselamatan tertinggi” yang sepatutnya menjadi zon tiada
tembakan, dan telah membunuh mereka beramai-ramai dengan mengugurkan bom
cluster yang telah diharamkan. Manakala, kerajaan Sri Lanka juga telah memberi
tekanan kepada segala pihak ketiga seperti badan-badan bukan kerajaan termasuk
ICRC – Persatuan Bulan Sabit Merah Sedunia untuk meninggalkan zon perang, tanpa
memberikan apa-apa bantuan kemanusiaan kepada mangsa perang. Malah,
Agensi-agensi UN sendiri telah dipaksa meninggalkan zon perang. Para wartawan
telah dihalau keluar, supaya tiada ada saksi untuk segala jenis jenayah
terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap orang Tamil di zon perang itu.
Maklumat ini disahkan oleh satu laporan dalaman Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu yang telah bocor baru-baru ini. http://www.guardian.co.uk/world/2012/nov/14/report-damns-un-sri-lanka
Pada bulan Jun lepas,
Presiden Sri Lanka ini disambut dengan tunjuk perasaan dan dia terpaksa
membatalkan program ucapanya di London. Manakala beberapa kes telahpun
difailkan ke atas Penjenayah Perang ini di mahkamah-mahkamah Amerika Syarikat
dan United Kingdom. Mana-mana Negara yang mencintakan keamanan dan hormati hak
asasi manusia tidak akan mengalu-alukan kedatangan Penjenayah Perang ini. Harus
diingat kedatangan Penjenayah Perang ini ke Malaysia akan berlaku selepas
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menandatangani Perjanjian Hak Asasi Asean di
Cambodia dua hari yang lepas.
TIADA PERBEZAAN ANTARA MAHINDA RAJAPAKSA, BENJAMIN NETANYAHU & EHUD BARACK
Kerajaan Sri Lanka
tiada bezanya dengan rejim Zionis di Israel. Kedua-dua rejim ini dengan angkuh
membunuh puluhan ribu rakyat yang tidak berdosa untuk mencapai matlamat mereka.
Tatkala, pengkhianatan kerajaan Malaysia terhadap suara orang-orang Tamil, pada
Sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada awal tahun ini masih lagi segar di
ingatan orang-orang Tamil Malaysia, Kerajaan Barisan Nasional sudah bersedia
untuk mengkhianati dan melukakan perasaan orang-orang Tamil di Malaysia dengan
menjemput Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa ke Malaysia. Menjemput Mahinda
Rajapaksa adalah sama seperti menjemput Benjamin Netanyahu ataupun Ehud Barack
ke Malaysia. Kesemua mereka adalah pembunuh yang tidak berhati perut yang sanggup
membunuh orang-orang yang tidak berdosa demi mencapai matlamat mereka.
Saya berharap
kerajaan Malaysia yang menjadi Tuan Rumah bagi Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-8
yang akan diadakan di Johor Bahru, akan membatalkan hasratnya untuk menjemput Penjenayah
Perang Mahinda Rajapaksa sebagai Tetamu Kehormat. Saya di sini ingin menegaskan
bahawa saya dengan rakan-rakan seperjuangan, di bawah gabungan “Tamil Youth
Action Force” akan menggerakan anak-anak muda di seluruh Malaysia, untuk
berhimpun dan membantah kedatangan “Living Hitler” Mahinda Rajapaksa ke
Malaysia. Perhimpunan berkenaan akan menjadi Pehimpunan terbesar yang
melibatkan orang-orang Tamil di Malaysia, selepas Perhimpunan HINDRAF pada
tahun 2007 lalu. Saya juga berharap, DAPSY, AMK, Dewan Pemuda PAS & SAMM
akan menyokong usaha ini, kerana ini melibatkan isu kemanusiaan sejagat.
Sekian, Terima Kasih.
Yang Bersaudara,
SATEES
A/L MUNIANDY
Penolong
Setiausaha
DAPSY
Pulau Pinang
20
November 2012
No comments:
Post a Comment