Thursday, March 1, 2012

SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA YAB DATUK SERI NAJIB RAZAK


YAB DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK,
PERDANA MENTERI MALAYSIA,
Pejabat Perdana Menteri Malaysia,
Main Block, Perdana Putra Building,
Federal Government Administrative Centre,
62502 Putrajaya, Malaysa

PER : MALAYSIA PATUT MENYOKONG RESOLUSI TERHADAP KESALAHAN JENAYAH PERANG YANG BERLAKU DI SRI LANKA PADA SIDANG KE-19 MAJLIS HAK ASASI MANUSIA PBB DI GENEVA 

YAB DATUK SERI,

Dengan segala hormatnya kami merujuk kepada perkara di atas.

2. Seperti yang YAB Datuk Seri maklum, Sidang ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia PBB telah bermula pada hari Isnin yang lalu di Geneva. Delegasi Malaysia ke Sidang ini diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar Malaysia. Datuk Seri Anifah Aman telah berucap di Sidang berkenaan dan telah menegaskan bahawa, isu hak asasi manusia tidak patut dipolitikkan dan tidak patut mengambil pendekatan double standard untuk mencampur tangan urusan negara lain.

3. Kerajaan Malaysia harus sedar bahawa, Malaysia sendiri tidak patut mengambil pendekatan double standard dalam isu hak asasi manusia sejagat. Malaysia merupakan negara yang pertama sekali tampil untuk memboikot Rejim Apartheid di Afrika Selatan dan Malaysia sehingga kini tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, oleh kerana keganasan Israel terhadap kemerdekaan negara Palestin. Malaysia juga tampil sebagai Wira Hak Asasi Manusia, apabila memperjuangkan nasib warga Bosnia dan Kosovo. Tetapi, sedihnya apabila Malaysia menutup mata bila berhadapan dengan isu kemanusiaan di Sri Lanka. Mungkin Malaysia sudah terlupa bahawa, sebanyak 1.7 juta orang India, di mana sebanyak 90% daripadanya adalah yang berketurunan Tamil menetap di Malaysia.

4. Malaysia pada sidang ke-18 Majlis Hak Asasi Manusia PBB, telah menyokong Resolusi yang menyokong Sri Lanka, tanpa mengambil kira perasaan orang-orang Tamil di Malaysia. Malaysia juga telah menjemput Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakshe ke Malaysia dan telah mengalu-alukanya dengan penghormatan karpet merah, walaupun sedar perkara itu menyakitkan hati orang-orang Tamil di Malaysia. Panel pakar yang ditubuhkan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon telah menyatakan bahawa kesalahan jenayah perang telah berlaku di Sri Lanka. Laporan berkenaan juga menyatakan beribu-ribu orang Tamil telah dibunuh oleh tentera Sri Lanka pada kemuncak perang di Sri Lanka pada bulan Mei 2009. Bukti juga dikemukakan bahawa, Hospital dan sasaran awam telah sengaja diserang oleh kapal-kapal perang Sri Lanka, walaupun kordinasi-kordinasi awam berkenaan telahpun diberi kepada pimpinan tentera awal-awal lagi oleh Pertubuhan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (ICRC). Orang-orang Tamil seluruh dunia mengecam tindakan kerajaan Sri Lanka yang membunuh rakyatnya sendiri dalam perang tersebut. Rakyat Malaysia tidak terkecuali dalam mengutuk tindakan Sri Lanka itu. Walaupun Perang di Sri Lanka sudahpun berakhir tiga tahun yang lalu, namun kebanyakkan orang-orang Tamil masih tinggal di Kem Pelarian yang berpagar duri di Utara-Selatan Sri Lanka. Timbalan Menteri Luar, A Kohilan telah menyatakan di Parlimen bahawa Kerajaan Sri Lanka telah berjanji kepada Ban Ki Moon, untuk menempatkan semula kesemua pelarian perang sebelum Januari 2010. Walaupun kini sudah, Mac 2012, namun masih ramai lagi pelarian Tamil meninggal di kem-kem pelarian. Ini menunjukkan Kerajaan Sri Lanka tidak serius dan tidak ikhlas dalam menyelesaikan masalah-masalah orang Tamil di Sri Lanka. Kerajaan Malaysia harus mengambil perhatian tentang keadaan ini juga.

5. Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan menyebelahi kerajaan Sri Lanka, walaupun sedar bahawa orang-orang Tamil di Malaysia tidak gembira dengan pendirian Malaysia itu. Malaysia sebagai negara yang berjanji untuk menghormati deklarasi hak asasi manusia, tidak patut menyokong Sri Lanka dan harus mengambil tindakan untuk menyokong resolusi yang mengecam Sri Lanka yang akan dibawa di sidang ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva. Rakyat Malaysia yang berketurunan Tamil amat mengharapkan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan menyokong kerajaan Sri Lanka dalam sidang ke-19, Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

6. Kami organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang, mewakili seluruh masyarakat Tamil di Malaysia meminta YAB Datuk Seri untuk memberi pertimbangan kepada permohonan kami dan mengambil pendekatan untuk tidak menyokong Kerajaan Sri Lanka pada resolusi yang akan dibentangkan pada Majlis Hak Asasi Manusia PBB nanti. Kami mendahului segala pertimbangan YAB Datuk Seri dengan ribuan terima kasih. Sekian. 

Yang Benar,

Organisasi-Organisasi Bukan Kerajaan NGO Pulau Pinang
1) Pertubuhan Rekreasi Pemuda Tamil Perai, Pulau Pinang
2) Kelab Sukan Tamilan Pulau Pinang
3) Kelab Belia Alma
4) Persatuan Kebajikan dan Kemajuan Saudara Pulau Pinang
5) Pertubuhan Masyarakat Sepakat Perai, Pulau Pinang
6) Persatuan Kebudayaan Tamil Pulau Pinang
7) Persatuan Dravidian Malaysia, Pulau Pinang
8) Kelab Sukan Universal Pulau Pinang